Ratib 3 Persona : Ruang Pemuas Nafsu Yang Kehausan Barang Original


Semalam penulis berkesempatan menonton pementasan Ratib 3 Persona arahan pengarah muda, Fairul Pujangga di Stor DBP, Kuala Lumpur.

Tempatnya bagus, feng shuinya juga baik. Ruang parkir pun banyak berbanding beberapa tempat lain yang sering menjadi rungutan segelintir peminat teater.

Jadi untuk Ratib 3 Persona, isu tidak berminat untuk hadir kerana masalah parkir sudah boleh diketepikan termasuk ruang duduk penonton sangat selesa dengan kerusi yang eksklusif.

Persembahan berlangsung tepat pada masanya, 8.30 malam. Sama seperti yang tertulis pada tiket serta posternya. Jelas di sini, persediaan rapi terhasil menerusi pengalaman.

Ratib 3 Persona menampilkan tiga wajah pelakon baharu seperti Intan Suraya, Rokidy Rodi dan Azaerai Azmi. Meskipun nama mereka kurang terkenal berbanding pelakon TV yang lain, kehebatan mereka beraksi di pentas usah dipertikaikan.

Pelakon TV yang popular pun belum tentu mampu menghafal bait-bait puisi yang panjang serta penuh puitis. Saya jamin, andai pelakon TV yang popular berada di pentas itu, mereka akan gagal bermain dengan ruang ajaib itu.

Kecuali mereka yang asalnya memang lahir dari pentas teater atau pernah menuntut ilmu di laman persinggahan itu.

Apa yang diceritakan? Sudah pasti bukan naskah drama mak cik bawang atau cerita fantasi budak-budak Tik Tok. Ratib 3 Persona adalah tentang bangsa kita, orang kita dan kita sendiri.

Kita barang kali melihat cermin dengan penuh perasaan kosong. Sekadar melihat untuk berhias kemudian berambus demi meneruskan impian sama seperti orang lain.

Sudah tidak ada lagi jati diri. Kalau boleh, "Eh, malulah kalau kita buat benda yang tak sama dengan orang lain. Suka atau tidak, ketepikan pendirian.. asalkan tidak nampak berbeza.. lalu diejek mereka yang kononnya moden".

Jadi secara peribadi, saya menganggap naskah Ratib 3 Persona ini sebagai teguran untuk anggota masyarakat. Ya, ditegur secara kasar.. nanti marah. Maka inilah protes yang dilakukan penuh teliti tanpa mengguris hati.

Siapa yang wajar menonton? Saya tujukan kepada semua yang mendabik dada, penuh ego, "Tak.. aku tak pernah dipengaruhi sesiapa dan aku buat keputusan menerusi hati aku sendiri."

Pementasan masih boleh ditonton malam ini di Stor DBP Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam dan esok, pukul 3 petang.
Harga tiket cuma RM20 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.

Ratib 3 Persona wajib ditonton kerana karya ini masih berdarah original yang tidak dikacukkan dengan pemahaman luar yang rosak.

No comments