Dahagakan Seni Yang Penuh Rasa Puitis? Ratib 3 Persona Wajib Untuk Ditonton!



Siapa kata Malaysia sudah tiada karya atau budaya yang menarik untuk didedahkan kepada umum pada zaman yang serba miskin ini?

Miskin ini ditujukan kepada jiwa manusia yang sudah termakan dengan pujukan modenisasi untuk sekadar bergerak tetapi tidak bertuju.

Untuk mengelakkan diri sesat seperti kebanyakan umat manusia lain, ada baiknya suapkan diri dengan rehat seketika untuk menikmati santapan seni.

Bukan apa, sekurang-kurangnya ia menjadi makanan baharu kepada minda yang sudah lama tepu dengan cerita rekaan yang sering diperkatakan orang.

Ratib 3 Persona arahan pengarah muda yang verstail, Fairul Pujangga dijangka mampu memenuhi tuntutan nafsu yang dahaga itu.

Persembahan yang mula berlangsung 8.30 malam hari ini sehingga 28 April depan adalah sebuah slot santai yang tidak harus dilepaskan orang ramai.

Bakal berlangsung di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur, persembahan yang menampilkan tiga susuk pelakon hebat ini pasti menyegarkan akal penonton.

Memetik kata-kata orang lama dalam industri seni, Roslan Madun, kejayaan sesebuah teater bergantung pada pengarahnya (sutradaranya). 

Kerana pengarah merupakan kunci keberhasilan sesuatu pementasan dan Roslan memetik kata-kata itu dari buku "Menjadi Sutradara" oleh Suyatna Anirun Jakarta. 

Tambahnya lagi, meskipun teater itu dihidupkan oleh pelakonnya, tapi pengarahlah yang mencorakkan watak mereka.

"Pengarah juga adalah penterjemah atau pentafsir naskah ke pentas. Melalui Ratib 3 Persona, Fairul selaku pengarah dimudahkan sedikit kerjanya kerana beliau juga selaku penulis naskah bersama Ayudez Zuraina yang menjadi rakan teaternya sejak awal.

"Segala yang tersirat dalam dialog yang banyak bermain metafora itu telah beliau hadam awal-awal lagi," tulis Roslan dalam sebuah catatan di laman Facebook miliknya.

Harga tiket bagi pementasan Ratib 3 Persona ini adalah RM15 bagi kanak-kanak dan RM20 untuk golongan dewasa.

Untuk info lanjut, penonton yang berminat boleh hubungi Ayudez di 012-2304430 sementara karya ini masih hangat dipersembahkan.

Ratib 3 Persona menyaksikan lakonan hebat daripada Intan Suraya, Roydy Rokidy serta Azerai Azmi. 

**E-MEDPRO**



No comments