Teater Sirih Bertepuk Pinang Menari Temui Penonton Bermula 18 Januari



"Rakyat seperti semut yang lata.. tetapi menusuk bisanya." Itulah dialog keramat yang akan bergema mengiringi persembahan teater Sirih Bertepuk Pinang Menari (SBPM)

Teater SBPM anjuran Kelab Deklamator Malaysia (Dekmal) yang akan menemui penonton bermula 18 hingga 20 Januari ini adalah sebuah teater yang berkonsepkan semi muzikal.

Menariknya dalam teater yang memaparkan citra kehidupan masyarakat kampung serta istana ini adalah apabila seorang raja yang adil tampil menguji anakandanya.

Ujar pengarah SBPM, Fairul Pujangga, raja tersebut sengaja berbuat demikian bagi menilai daya kepimpinan anakandanya dengan cara menyerahkan tampuk pemerintahannya.

Latihan teater Sirih Bertepuk Pinang Menari rancak diadakan.

“Raja itu memberitahu dirinya sedang keluar mengembara dan sepanjang tempoh pemerintahan anakandanya, pelbagai kerosakan dan perubahan dilakukan.

“Rakyat menerima kesan yang sangat buruk sehinggalah raja tersebut akhirnya muncul semula dan menurunkan anakandanya daripada takhta,” kata Fairul kepada E-MedPro.

Kongsi Fairul lagi, raja berkenaan mengambil keputusan untuk menitahkan anakandanya keluar dari negeri itu bagi mencari pengalaman hidup sebenar sebelum kembali menjadi raja yang adil dan saksama.

Bercakap lanjut tentang SBPM, seramai 50 pelakon termasuk krew produksi yang terdiri daripada guru, penjawat awam serta pelajar sekolah rendah dan menengah telah mengambil bahagian untuk menghidupkan kegiatan seni ini.

“Para pelajar diberi ruang untuk mempamerkan kemantapan persembahan melalui proses persediaan dan penyertaan secara 100% tanpa penglibatan tenaga
kerja profesional.

“Latihan dan kepakaran dari aspek persembahan, sinografi dan pengarahan terdiri dalam kalangan guru sekolah yang berpengalaman luas dalam bidang teater,” katanya.

Teater Sirih Bertepuk Pinang Menari menampilkan kisah citra masyarakat di antara rakyat serta pihak istana.
Tambah Fairul, SBPM dipentaskan semula bagi menjulang karya agung yang pernah dihasilkan sasterawan negara, Datuk Noordin Hassan.

“Secara jelas, persembahan ini menjentik semangat patriotik dan menitikkan pemupukan nilai murni serta memartabatkan Bahasa Melayu dalam kalangan warganegara.

“Selain menegakkan isu-isu semasa tanah air yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan, SBPM akan menampilkan peri indahnya Bahasa Melayu dalam konteks estetika persembahan teater,” ujarnya.

Bertempat di Auditorium, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, tiket bagi pementasan teater SBPM dijual pada harga RM15 (dewasa) dan RM10 (pelajar).

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan tiket tersebut boleh mendapatkannya secara terus daripada wakil pengurusan, Ayu di talian 012-2304430.

** E-MEDPRO **

No comments