Kawasan Utara Johor Dibangunkan, Anak Watan Berpeluang Teroka Rezeki Baharu



Statistik pada tahun 2016 menunjukkan jumlah kepadatan penduduk di Johor Bahru yang berjaya dicatatkan mencecah sekitar 1,494,800 orang.

Kepadatan ini berlaku kerana rata-rata anak watan Johor termasuk warga luar negeri mengambil langkah berhijrah ke kawasan Johor Bahru.

Hal ini terjadi kerana umum sedia maklum, Johor Bahru dibangunkan dengan baik sekali gus mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan.

Namun demikian, bagaimana pula dengan nasib daerah-daerah lain? Sepanjang pemerintahan kerajaan lepas, adakah daerah seperti Mersing, Tangkak dan Segamat misalnya berjaya dibangunkan dengan baik?

Kenapa berhijrah?

Jawapannya ada pada persoalan, “Mengapa anak watan Johor yang lahir di kawasan berkenaan keluar berhijrah ke tempat lain untuk mencari sumber rezeki yang lebih baik?”

Memahami permasalahan tersebut seiring dengan peredaran zaman yang sudah memasuki tahun 2019, walaupun kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah padu dikritik netizen, mereka tetap perlu bekerja untuk rakyat.

Melihat pendekatan yang paling dekat, Menteri Besar Johor, Osman Sapian telah membuat satu pengumuman tentang pembangunan di kawasan utara Johor.

Pengumuman itu ternyata merupakan inisiatif yang baik selain pelabur yang berminat untuk meneroka kawasan utara Johor diwajibkan mengikut syarat-syarat yang bakal ditetapkan oleh kerajaan Johor.

Gaji pekerja minimum RM1,500

Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh pelabur asing ini sekiranya berminat untuk membuat projek di dalam negeri Johor adalah perlu menggaji pekerja tempatan dengan kadar sekurang-kurangnya RM1,500.

Untuk situasi menang-memang, pelabur asing juga berkemungkinan akan menikmati pengecualian cukai selama lima tahun sebagai galakan kepada mereka untuk melabur di daerah itu dengan lebih efisien.

Ketika lawatannya ke syarikat berkaitan kerajaan negeri, YPJ Holdings Sdn. Bhd., Osman memberitahu maklumat lengkap tentang inisiatif tersebut akan dibawa berbincang bersama anggota Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN).

Respon positif manfaatkan rakyat

Dalam masa sama, Osman meletakkan tempoh sebulan untuk memperhalusi cadangan yang bakal dilaksanakan itu jika mendapat pandangan yang positif daripada anggota MTEN yang lain.

Jika perkara tersebut dipersetujui bersama untuk dilaksanakan pada masa terdekat, alangkah bertuahnya penduduk di daerah-dareah lain dalam negeri Johor yang serba makmur ini.

Usaha menarik minat pelabur asing membangunkan negeri Johor diharap akan terlaksana sekali gus peluang pekerjaan dapat diwujudkan di tempat sendiri.

Anak-anak juga tidak perlu lagi merantau jauh meninggalkan kedua-dua ibu bapa mereka yang sering kerinduan. Jika sakit dan susah, anak-anak masih boleh menjaga orang tua mereka.

Semoga langkah tersebut turut sama memberi pelbagai manfaat untuk penduduk yang dahagakan kemajuan serta perubahan dalam negeri yang dibangga-banggakan ini.
Insya’Allah..


No comments