Konsert The Era Bangkit Nostalgia Lagu Popular Sepanjang Zaman


Selama lebih dua jam bermula dari pukul 8.30 malam, penonton bagaikan terpukau dengan alunan muzik yang dimainkan dari era 50-an sehinggalah yang terkini.

Ditambah pula dengan kesan istimewa apabila penyanyi dan pemuzik sering bertukar-tukar pakaian mengikut era muzik  yang dimainkan, ia memberi satu sentuhan yang penuh nostalgia.
|
Ternyata program yang diberi nama Konsert The Era anjuran pelajar Tahun Dua Fakulti Pengurusan  Seni dan Budaya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang diadakan pada 28 Disember lalu memiliki aura yang tersendiri.

Ujar pengurus acara, Ain Syuhada Ahmad Bohari, idea untuk mengadakan Konsert The Era tercetus sejak November lalu.

“Setelah mendapat kelulusan daripada peringkat tertinggi di Aswara, kerja-kerja serta latihan yang berkaitan segera dilakukan.

“Program yang disifatkan mega ini juga sukar untuk berjaya jika tiada sokongan daripada pelajar Fakulti Muzik dan Teater itu sendiri yang lebih arif tentang ‘dunia’ mereka,” katanya.


Sehubungan itu, gabungan idea dan gerak kerja daripada pelajar Aswara ini berjaya membuktikan kerjasama yang padu mampu menghasilkan impak yang positif dalam sesebuah persembahan.

Turut hadir ke Konsert The Era, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan  Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Rashidi Hasbullah, Rektor Aswara, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd. Rizon Juhari dan Dekan Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya Aswara, Mejar (PA) Ts. Zulkifli Ab. Rashid.

Kongsi Ain Syuhada, kapasiti untuk penonton pada awalnya disasarkan untuk sekitar 500 orang sahaja.

“Namun memandangkan kemasukan ke Panggung Eksperimen Aswara untuk mengikuti program itu adalah percuma,  jumlah penonton yang hadir memang berada di luar jangkaan kami.

“Boleh dikatakan hingga tiada tempat duduk yang kosong dan ramai di antara mereka terpaksa duduk di kaki-kaki tangga selain ada juga yang berdiri dan menari sehinggalah tamat Konsert The Era tersebut.


Bagi Ain Syuhada, Konsert The Era adalah satu pengalaman yang cukup membanggakan buat dirinya serta keseluruhan tenaga kerja produksi.

“Acara tersebut telah mendapat pujian daripada Datuk Rashidi Hasbullah yang turut sama hadir meluangkan masa Jumaat lalu.

“Selain itu, pihak kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan penaja yang terlibat seperti RENTAP Printing Enterprise, Prime Time Event Consultant, Popcorn Cinta, Cashmere Kuala Lumpur, 2 Twenty 2 Studio & Love Flying Make Up Team,” katanya.



Konsert The Era dihoskan oleh Aril Fazrie dan Ewan Fauzi selain menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Alvin Chong, Shaffiq Erwin, Twenty 2, Ayie Elham F88, Eric Fuzi F88, Azzam Sham, Idris, Akmal Ayub serta Alyssa Rosli.

** E-MEDPRO **

No comments