Sumpah Terkejut! Nenek Empat Cucu Ini Rupanya Pelumba Kereta Wanita Yang Aktif


Apabila melihat raut wajah serta penampilannya, ramai yang beranggapan dia cuma seorang wanita berusia 40-an yang biasa.

Namun setelah dia membongkar rahsia mengenai umurnya, pasti ramai yang tercengang dan tidak menyangka bahawa dia sebenarnya sudah berusia 54 tahun!

Itulah realiti yang sering dihadapi Zaidah Mohd. Ishak yang juga merupakan seorang pelumba kereta wanita apabila menghadiri mana-mana acara dan itulah juga persepsi teruja yang sering diterimanya.

Antara rekod terbaik yang pernah dicapai Zaidah dalam bidang perlumbaan, dia pernah memenangi tempat pertama dalam kejohanan perlumbaan terbuka kategori 'Auto Tranny 2.0' Fullthrottle Epic Battle di Kampung Gajah Speedways, Litar Lumba Dato Sagor, Perak.

Selain itu, dia pernah mendapat tempat ketiga kategori terbuka Kejohanan Forca Generation X 2017 yang berlangsung di Elite Speedway, Subang Jaya sekali gus menewaskan 26 peserta lain yang kebanyakannya didominasi oleh pelumba lelaki dengan catatan masa 52.11 minit.


Bercakap tentang mampu kekal jelita pada usia 54 tahun, Zaidah yang merupakan anak ke-10 dalam bilangan adik beradiknya menjelaskan amalan pemakanan merupakan antara faktor yang perlu dijaga secara konsisten.

“Selalunya apabila bangun pagi sebelum sarapan, saya wajib minum air kosong terlebih dahulu. Kemudian akan makan sedikit oat serta buah epal hijau.

“Kalau tengahari pula, saya akan lebihkan makanan berprotein dan kurangkan makanan yang mengandungi karbohidrat,” katanya kepada E-Medpro, baru-baru ini.

Zaidah yang memiliki lima orang anak serta empat cucu turut memberitahu, tabiat jarang makan pada waktu malam atau sekadar makan telur rebus untuk mengalas perut sebelum tidur sudah memadai untuk kekal sihat.

Menarik tentang Zaidah lagi, walaupun usianya kini 54 tahun, dia bukan hanya masih bekerja sebagai seorang kontraktor malah juga merupakan seorang pelumba kereta bagi kategori wanita.


“Saya sebenarnya baru dua tahun sertai sukan permotoran ini kerana saya rasa minat serta terpanggil untuk mencuba sesuatu aktiviti yang sangat mencabar.

“Namun begitu, untuk acara pemanduan terbuka, ada juga saya menjadi juara dalam beberapa cabaran yang pernah saya sertai sekali gus meninggalkan pemandu lelaki yang usianya jauh lebih muda daripada saya,” katanya.

Bagi Zaidah, usia itu sekadar angka dan ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk meninggalkan sebarang aktiviti yang diminati.

Oleh kerana saya begitu meminati sukan permotoran, saya bukan sahaja memiliki Mitsubishi Evo 6 serta beberapa kenderaan lain.

“Malah saya saya sering gunakan Mistubishi Evo 6 tersebut sebagai kegunaan untuk aktiviti harian,” ujarnya.

Zaidah begitu berbangga dengan pencapaiannya hari ini dan baginya, perkara yang lebih penting adalah dia memiliki seorang suami yang sering menyokong semua aktiviti yang mahu disertainya.

** E-MEDPRO **


==========================================================
Ada berita, info dan cerita menarik yang mahu disiarkan? Whatsapp (sahaja) 012-8975696

Follow Instagram : @emedpro

No comments