Iklan

Shahril Latief Mahu Bikin Skrip Dan Impi Untuk Mengarah



Jejaka kelahiran Sabah, Shahril Latief, 27, mahu menggapai impian yang cukup besar dalam dirinya sekiranya mempunyai peluang untuk mempamerkan bakatnya dalam industri seni negara.

Kalau dari awal penglibatannya sehingga kini cuma bergelar seorang pelakon, kadang-kala terbit di hati Shahril mahu membikin skrip untuk drama dan filem tempatan.

“Saya juga ingin mengarah karya-karya seni jika ada peluang sedemikian namun untuk menuju ke arah itu, masih banyak perkara yang perlu saya pelajari.

“Apa yang penting, sikap bersungguh-sungguh dan jangan sesekali berputus asa itu perlu ditertibkan sama sekali dalam diri,” ujarnya kepada E-Medpro, hari ini.

Sharil yang turut terlibat dalam telefilem Titi Kayu arahan Raja Mukriz untuk slot Cerekarama TV3 menegaskan, seseorang anak seni itu tidak boleh ego atau bongkak jika menerima pelbagai peluang.

“Sikap rendah diri dan sentiasa bertanya kepada pengarah mahu pun krew produksi bukanlah sesuatu yang hina.

“Sebaliknya ia mewujudkan satu ikatan silaturrahim sekali gus membolehkan orang lain kenal siapa diri kita,” katanya.

Jika ditanya tentang projek terbaharu, Shahril memberitahu bahawa dia kini terlibat dalam sebuah filem arahan Namron yang berjudul Masterpiecisan.

“Bekerja dengan’otai’ adalah satu penghormatan dan saya harap setiap usaha yang dilakukan dapat dinilai dengan baik oleh pihak produksi.

“Kita cuma mampu bekerja dan buat yang terbaik. Jangan pertikai soal rezeki sebaliknya bersyukurlah kerana kita sering punyai peluang untuk direbut,” katanya.

** E-MEDPRO **

No comments