Perlu Mula Dari Bawah Jika Mahu Terus Berjaya – Boywan


Diam tak diam, sudah lima tahun, Boywan, 32, berada di dalam industri lakonan tempatan.
Meskipun peranannya lebih banyak kepada pelakon pembantu, Boywan tidak kisah akan semua itu.

Hal ini kerana dia percaya, untuk menempa nama sebagai pelakon yang cukup dikenali, dia mesti bermula dari bawah.

“Jika kita mengikut asas dan haluannya, erti disiplin, tepati masa dan budaya saling hormat-menghormati itu dapat dipupuk.

“Sekarang saya dikategorikan sebagai ‘pekerja bakat tambahan’ namun tak mustahil suatu hari nanti, kelompok ini boleh diangkat sebagai hero untuk menerajui sesebuah filem atau drama,” katanya.

Cita-cita Boywan, dia mahu menjadi seorang pelakon yang berjaya untuk setiap watak yang diamanahkan oleh pengarah mahu pun produser.

“Idola saya adalah abang Azhan Rani kerana setiap watak yang dilakonkannya pasti menjadi dan sampai ke hati penonton.

“Antara pengalaman manis bersama beliau, walaupun saya bukanlah sesiapa pun namun Azhan Rani pernah mengusik saya untuk tidak melupakan beliau jika saya berjaya,” kongsi Boywan.

Bagi Boywan, untuk mendapat peluang sebegitu, semangat yang kuat serta usaha yang gigih perlu dipamerkan setiap masa.

“Yang penting.. sentiasa bersikap rendah diri dan tidak sombong. Ini antara perkara yang perlu kita pegang.

“Dan walau sejauh mana pun kita melangkah, jangan sesekali abaikan peluang yang ada dan sentiasalah tunjukkan minat kita dalam industri lakonan ini,” katanya.

** E-MEDPRO **

No comments