Iklan

Pengalaman Berdialog Dengan Nasha Aziz Segar Dalam Ingatan - Fara Queen


Melihat raut wajah jelitanya, andai mata bertentang mata, pasti jejaka yang paling ‘hangat’ sekali pun akan ‘cair’ terpana dengan keayuan gadis kelahiran Sekinchan, Selangor ini.

Ditambah pula saat senyuman manis diutuskan, sesiapa yang terpandang kadang-kala sampai boleh terjatuh cinta dan mahu mengenali Farah Wahida Zainuddin atau lebih mesra dengan sapaan Fara Queen dengan lebih dekat.

Namun begitu, sebagai seorang gadis yang memiliki personaliti anggun, frasa ‘pandai-pandailah membawa diri’ terus dijadikan pegangang dalam dirinya sehingga hari ini.

Berkongsi cerita kariernya kepada E-Medpro, Fara yang memiliki diploma dalam jurusan Teknologi Maklumat dari Kolej Yayasan Negeri Selangor mula memasuki industri lakonan sejak lima tahun lalu.

“Saya bermula sebagai pelakon tambahan. Saya rasa itu adalah langkah pertama yang sama pernah dilalui oleh 70 peratus pelakon-pelakon yang sedia ada sehingga hari ini.

“Jika awal kemunculan sudah menempa nama dan mendapat populariti di mata peminat, mereka adalah golongan 30 peratus yang isitimewa kerana dimurahkan rezeki,” katanya.

Namun begitu sebagai seorang manusia, Fara menegaskan rezeki atau peluang yang diterima oleh mana-mana individu tidak sesekali boleh dipertikaikan.

“Ia bergantung kepada doa, niat serta usaha. Jika kita mahukan sesuatu dalam hidup ini, bekerjalah untuk mendapatkannya,” ujar Fara.

Mengimbau saat kali pertama diberi peluang untuk berdialog, Fara akui ia adalah sesuatu yang sangat kelakar dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Waktu itu saya perlu berdialog dengan pelakon idola, Nasha Aziz. Bayangkanlah.. dia seseorang yang tinggi manakala Fara pula agak rendah jika mahu dibandingkan. Ibarat bersembang dengan pokok kelapa.

“Jadi untuk menyelesaikan masalah itu di set penggambaran, tak pasal-pasal kru produksi terpaksa meletakkan kotak untuk saya berdiri agar tak nampak pelik.

Selain itu, terdapat juga satu insiden lucu yang terjadi kepadanya sewaktu diperlukan untuk berdiri di hadapan mesin fotostat.

“Entah macam mana.. saya pun tak perasan bila pengarah sebut ‘cut’. Tetapi yang pasti, semua orang sudah pun pergi makan ketika itu.

“Tahu-tahu rupanya sudah dua jam Fara berdiri di hadapan mesin fotostat itu semata-mata mahu menunjukkan disiplin yang bagus sebagai pekerja bakat lakonan baharu,” ujarnya sambil tertawa.

Namun begitu, masa sudah berubah dan segala kekurangan terus diperbaiki. 

Fara yang dahulunya hanya seorang pelakon tambahan kini sudah mengorak langkah menjadi seorang pelakon pembantu.

Fara juga tidak hanya memfokuskan kariernya kepada filem komersil, telefilem atau drama semata-mata malah jika ada apa-apa sahaja hal-hal yang berkait dengan dunia seni, insya’Allah Fara akan sertai.

“Misalnya baru-baru ini, saya ada terlibat dengan sebuah projek filem pendek bersama Pasionate World Production dengan tajuk ‘Concent 18'.

“Dalam cerita itu, Fara memegang watak sebagai seorang ibu yang didera demi mempertahankan anaknya daripada dijual oleh bapanya sendiri dan kalau rakan-rakan nak tahu bagaimana lakonan fara kali ini, kita sama-sama tunggu,” katanya.

** E-MEDPRO **

No comments