Iklan

Diana Danielle Dan Lakonan Terbaharunya Dalam Filem Gol & Gincu Vol. 2


KETIKA ini, wang ringgit bukan lagi yang dikejar, sebaliknya hal utama yang dititikberatkan oleh Datin Diana Danielle ialah kualiti serta keberkesanan pembawaan watak dalam usaha melakar kanvas seninya yang semakin berwarna-warni.

Berdasarkan rekod kerjaya seninya selama 16 tahun, terlalu banyak perbezaan peranan yang digalas oleh aktres kacukan Melayu-Amerika Syarikat itu.

Pada masa ini, isteri kepada aktor terkenal, Datuk Farid Kamil lebih selesa memilih naskhah dan watak yang menjadi dambaan, sekali gus menolak tawaran yang bukan pilihan.

Memasuki usia 26 tahun, seiring dengan kematangan dirinya, Diana pada masa sama tidak menyembunyikan keluhan mengenai tawaran yang hadir kepadanya lebih berkisarkan tentang wanita teraniaya.

“Saya bosan dengan tawaran yang datang semuanya tentang perempuan teraniaya. Saya bersikap jujur dan langsung tak teruja nak berlakon kalau naskhah seperti itu. Teraniaya itu bukan satu masalah sebab hidup ini penuh dengan dugaan, tapi janganlah kita terlalu pasif.

“Saya tidak suka watak yang mengharapkan orang lain menyelamatkan kita sebab dalam dunia realiti, saya bukan seperti itu. Saya lebih suka karakter yang realistik dan dekat dengan hati penonton. Atau mungkin karya yang ada pelbagai bangsa dalam satu naskhah, sekali gus menonjolkan keharmonian Malaysia,” luahnya.

Justeru pelakon filem Hanyut itu tidak pernah menyesal menolak hampir 15 tawaran kerana tidak mahu mencacatkan fail profilnya dengan watak klise.

Menurut Diana, obor cinta dan sayang terhadap gelanggang lakonan memberi semangat untuk dia terus memperjuang dan membangunkan kredibiliti sebagai seorang yang bergelar pelaku seni.

“Saya tidak takut untuk tolak tawaran sebab pada masa sama saya memperjuang industri juga. Bukannya saya menolak disebabkan tidak minat, tetapi rasanya kita semua memainkan peranan sama untuk fokus menaikkan industri.

“Pada masa sekarang, saya tidak gembira dengan apa yang industri hadapi. Masih banyak lagi yang perlu kita ubah dan tingkatkan. Apabila kita sama-sama berjuang, ketika itulah kita boleh tahu kalau ada yang ingin berada dalam industri semata-mata untuk kaut untung saja,” tegasnya lagi.

Sebagai seorang pelakon berbakat, Diana inginkan satu watak yang meninggalkan impak besar kepada penonton yang mengikuti perkembangan seninya.

“Ramai yang tanya saya sudah tidak berlakon lagikah memandangkan jarang nampak di kaca televisyen? Terus saya dicap tidak aktif dalam dunia seni.

“Walhal, kalau saya nak, saya boleh tampil dalam semua saluran cuma (lakonan sedemikian) tidak akan tinggalkan impak kepada penonton.

“Saya sukakan karakter yang kuat. Kita tidak bercakap tentang duit tetapi kualiti, ini yang saya mahukan pada saat ini. Saya sedar saya lebih cenderung bawa watak feminisme dan berharap skop itu akan diperluas lagi oleh produksi tempatan sebab secara tradisionalnya, wanita pun mampu mendukung watak utama,” ujarnya berkongsi rasa hati yang terbuku.

Janggal diminta uji bakat

SANGKAANNYA bakal pulang dengan tangan kosong usai pulang menjalani sesi uji bakat filem Gol & Gincu Vol. 2 ternyata tersasar apabila Diana diterima menjadi salah satu bintang naskhah terkini terbitan Red Films itu.

Sedia maklum karya yang pernah mencetuskan fenomena 13 tahun lalu itu kini menemui penonton generasi baharu dengan elemen lebih segar dan memaparkan kisah realiti generasi muda sejajar dengan era penuh berteknologi.

“Saya rasa agak janggal pada awalnya kerana perlu menghadiri proses uji bakat sebab sebelum ini tak pernah pun lalui semua ini apabila ditawarkan kerja lakonan. Rasa macam kembali semula pada awal kemunculan saya dalam industri.

“Saya dapat rasa tidak akan dapat watak Zak ini memandangkan mereka mahukan pelakon yang nampak macam budak kolej tetapi alhamdulillah mungkin rezeki saya sudah tertulis untuk filem ini, saya sangat-sangat gembira,” kongsi Diana.

Tambah Diana lagi, uji bakat yang dihadiri memerlukan dia berlakon di samping aktres Ummi Nazeera yang dianggap sebagai satu perkara yang tidak sewajar dilakukannya.

“Sejujurnya pada waktu itu, kami memang tak serasi dan bila lihat di paparan skrin memang kelihatan tiada keserasian.

“Hendak dijadikan cerita, Ummi juga berjaya dalam uji bakat itu dan saya diberitahu akan bergandingannya. Saya akui pada mulanya tak gembira sebab tak pernah bekerja dengan dia dan sukar untuk mendapatkan rentak sepadan.

“Tapi selepas menjalani beberapa kali latihan, alhamdulillah akhirnya kami dapat mencari keserasian berdasarkan skrip yang dikehendaki. Biarpun penggambaran sudah berakhir, kami jadi sangat rapat dan selalu berkongsi topik yang sama,” kata Diana bercerita mengenai hubungannya dengan Ummi.

Dari kaca matanya sebagai bintang utama yang dapat dirumuskan oleh Diana ialah naskhah ini sangat dekat dengan isu semasa dan menyelitkan mesej positif dalam bentuk penceritaan selain tidak membosankan untuk dihadam.

“Sangat relevan dengan yang generasi kita lalui sekarang sebab kalau Gol & Gincu 1 dulu tak melibatkan sosial media, untuk musim baharu ini banyak paparkan elemen tular di laman sesawang.

“Cerita ini juga menceritakan tentang kebaikan dan keburukan dunia tular dan dunia Internet sekarang. Jadi, dalam Gol & Gincu Vol.2 ini kita mahu beri kesedaran agar ada sikap tanggungjawab,” katanya yang memegang watak Zak atau Zakiah dalam filem arahan Umi Salwana itu.

Gol & Gincu Vol. 2 menceritakan mengenai dua penuntut universiti yang memiliki nama sama iaitu Zak, tetapi personaliti mereka jauh berbeza.

Filem ini bakal menemui penonton di pawagam bermula 25 Oktober di seluruh negara.

“Jangan bandingkan filem pertama dulu sebab tiada yang sama. Filem ini diberi sentuhan berbeza dari segi jalan ceritanya yang memang tiada kaitan dengan kisah yang pernah dipertonton 13 tahun lalu.

“Cuma elemen futsal dan fesyen masih dikekalkan dan menebal dalam kisah ini. Yang ini saja tak berubah dan disuntik dengan elemen lebih baharu iaitu isu sosial media, itu sahaja,” katanya mengakhiri cerita.

SUMBER : UTUSAN ONLINE

No comments