Iklan

Paskal : Sebuah filem taktikal atau jalan cerita yang meleret?



Jujur saya mampu katakan, ia sebuah filem yang penuh dengan taktikal. Ibarat menonton sebuah filem aksi Hong Kong kacukan Hollywood untuk 10 tahun lepas.

Walaupun kedengarannya agak lewat, itulah hakikat yang harus diterima oleh kita semua sebagai rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek malah diri kita sendiri.

Kita terlewat dalam banyak perkara namun itu tidak bermakna ia adalah sebuah pengakhiran.

Bercerita tentang filem Paskal, secara peribadi saya mengganggap ia telah membuka mata ramai pihak tentang kewujudan golongan askar elit ini.

Manakan tidak, selama ini kita selalu dihidangkan dengan cerita kepolisan atau tentera darat, yang sering bermain dan lalu di mata kita namun kali ini, sekali menjejak laut, bayangnya ikut sampai ke dalam hati.


Kenapa? Kerana Paskal menunjukkan kekuatan kita bukan sekadar setanding malah mungkin mampu melebihi aset ketenteraan negara lain.

Namun, rahsia tetap rahsia. Musuh tidak boleh tahu apa lagi aset yang ketenteraan negara kita milik. Cukuplah dengan sekadar visual ringkas 1 jam 40  minit yang boleh menimbulkan rasa gerun terhadap anasir luar.

Teaser filem ini pernah dibakul sampah, diludah oleh mereka yang terdiri daripada rakyat Malaysia juga dengan ayat pujangga, “Tak ada siapa nak tengok cerita patriotik macam ni.”

Atau pun, “Alaaa.. cerita pasal tentera.. mesti boring..”

Entahlah, saya antara penggemar cerita bertema sebegini. Dari filem Sarjan Hassan, Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Bravo 5, The Malay Regiment sehinggalah ke Kanang The Iban Warrior, semua saya layan.

Walaupun mungkin ada kekurangan dan tidak lazat mengikut lidah citarasa orang ramai, bagi saya usaha ini perlu ada dalam aspek mahu menyuntik semangat itu kepada generasi hari ini.

Cerita pasal tak menjadi, kalau tengok diri kita sendiri pun, berapa banyak perkara yang kita rancang mampu menjadi dengan sempurna?

Itu semua kuasa Allah. Tetapi apabila sudah ada niat yang baik dalam hati kita untuk sesuatu yang bermakna, bukankah Allah telah janjikan pahala?

Apa-apa pun, saya rasa ucapan tahniah perlu diberikan kepada produser dan pengarah filem di Malaysia yang semakin sedar dan sentiasa cuba mahu memberikan yang terbaik untuk penonton.

Begitu juga dengan filem Paskal. Usaha yang keras dan bersungguh-sungguh amat jelas kelihatan dalam filem ini.

Walaupun ia tiada ‘wow factor’ yang mengujakan namun ia sarat dengan adegan yang ‘beli pop corn, makan pun tak sempat habis’. Mata akan turut sama melihat jejak dan jalan cerita Paskal ini.


Tak minat Hairul Azreen? Dia tiada dalam filem tersebut. Yang ada cuma Arman yang bijak mentafsir situasi dibantu rakan-rakannya yang berjuang demi kemanusiaan sejagat.

Berdepan pula dengan penyangak yang orang biasa macam kita tak nampak. Huh.. Sama celakanya seperti pihak tentera radikal Jepun dan Komunis di darat suatu masa dahulu sebelum merdeka.

Tapi cerita Paskal? Situasi kisah benarnya adalah berlaku pada zaman selepas merdeka. Tak lama pun, adalah dalam tujuh tahun lepas.

Harap Ops Daulat yang pasal pengganas Kiram serang ATM dan insiden culik dan bunuh Polis Marin di Pulau Mabul dapat difilemkan juga. Sebagai tanda ingatan betapa besarnya jasa mereka untuk kita yang belum tentu sanggup berkorban seperti mereka.

P/s : Takziah kepada mereka yang telah pergi dan Alhamdulillah atas jasa dan bakti untuk dunia dan akhirat

No comments