Iklan

[VIDEO] Sumpah Gila, Munafik 2 Buka Peluang Untuk Orang Islam Jadi Sesat

Usai menonton tayangan perdana filem ke-10 pengarah muda, Syamsul Yusof menerusi Munafik 2, ia jelas boleh merosakkan akidah orang Islam untuk menjadi sesat.

Itulah antara propaganda terbaharu yang akan disebarkan kelompok pembenci tegar yang gemar membuta-tuli mengkritik filem termasuk karya Syamsul Yusof  yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Ironinya, realiti itu sama seperti yang ditawarkan oleh watak Abuja yang akan dikupas lanjut menerusi 'posting' ini.

Namun demikian secara peribadinya, penulis pula beranggapan Munafik 2 sebenarnya merupakan sebuah filem yang sarat serta padat dengan pelbagai nilai.

Munafik 2 masih mengekal Syamsul Yusof sebagai Ustaz Adam, Fizz Fairus sebagai Azman dan Datuk Rahim Razali sebagai Pak Rahim.

Walau bagaimanapun, perkembangan watak Ustaz Adam yang diberi keistimewaan untuk mengubat orang dirasuki iblis dilengkapi dengan kehadiran beberapa watak baharu seperti Sakinah serta Azhar yang dilakonkan oleh Maya Karin dan juga Asmawi Ani.

Sakinah digambarkan sebagai perempuan Islam terakhir yang enggan tunduk kepada Abuja (lakonan Nasir Bilal Khan) dan Azhar pula merupakan antara pemuda Islam yang lemah imannya kerana tidak mampu menentang kekufuran dan kesesatan Abuja dengan tindakan.

Abuja diciptakan sebagai seorang yang begitu sesat, taksub dan menggunakan madah pujangga Islam untuk mencari pengikut baharu.


Dalam erti kata lain, mereka yang tidak tunduk dan mengikuti ajaran Abuja dianggap kafir. Keangkuhan Abuja lebih terserlah apabila dia dan para pengikutnya cuba merendah-rendahkan kemampuan Ustaz Adam yang tampil berdakwah.

Dari segi tahap keseraman dan debaran, memang tidak dapat dinafikan elemen muzik dan babak kejutan ngeri menjadi antara intipati dalam Munafik 2.

Debarannya itu seakan-akan mampu membuatkan penonton tidak sempat untuk bernafas sehingga tegang urat. Lebih-lebih lagi sewaktu menyaksikan Ustaz Adam bertarung dengan iblis yang disifatkan lebih kuat berbanding Munafik sebelum ini.

Ujar Syamsul Yusof dalam sidang media yang diadakan, dia sehingga terpaksa mengurung dirinya untuk menghasilkan naskah yang bagi penulis, antara yang bermutu dan asyik ditonton.

Setiap dialog yang dilontarkan oleh para pelakon amat dekat dengan jiwa kita sebagai umat Islam khususnya.

Oleh sebab itu saya katakan pada awal penulis tadi, Munafik 2 bukan tentang kisah hantu dan iblis semata-mata malah ia merangkumi lebih jauh daripada itu.

Melalui Munafik 2, penonton akan dapat lihat sebuah filem yang menceritakan tentang perjuangan seorang lelaki muslim, yang berjuang sehingga titisan darah yang terakhir.



Mengambil kisah sebenar dari sirah para anbiya, ia membuatkan menonton mungkin terfikir, “Aku juga Islam namun jika aku didatangkan ujian sehingga memudaratkan diriku, adakah aku akan berpaling tadah atau terus kekal memohon pertolongan daripada Allah?”

Penulis amat gemar mesej yang disampaikan dalam filem ini. Peringatan tentang ‘Dajjal akan muncul dalam kalangan umat kamu’ serta ‘Iblis sedaya-upaya memecah belahkan umat Islam agar berperang sehingga hari kiamat’ membuatkan penulis merenung senario politik semasa dan gaya hidup umat Islam hari ini yang sedang tenat bergelumang dengan duniawi akhir zaman.

Penulis tidak pandai berikan bintang namun jika ditanya adakah berbaloi ditonton? Penulis akan menjawab PERLU DIFIKIRKAN.

PERLU DIFIKIRKAN kepada mereka yang lemah semangat, mengandung, memiliki penyakit jantung atau menunggu masa untuk nazak, elakkanlah.


Namun bagi peminat filem seram, ia amat bermakna untuk ditonton. Tontonlah dengan hati yang terbuka dan sebagai umat Islam, tanyakan kepada diri, sejauh mana kita berjuang di jalan Allah demi Islam dan adakah kita yakin mampu terhindar daripada fitnha Dajjal?

Semoga satu pengajaran yang cukup besar dalam filem ini dapat menjentik hati muslimin dan muslimat yang sedikit tersasar daripada jalan yang telah ditetapkan.

** E-MEDPRO ** 

No comments