Iklan

Berbakti Demi Rakyat Prinsip Tiga Pemimpin Muda

SUNGAI BESAR 28 Ogos - Tiga calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sungai Besar menegaskan konsep ‘berbakti kepada rakyat’ bukanlah sekadar retorik namun ia antara prinsip yang perlu didukung oleh setiap pemimpin.

Calon Ketua AMK Sungai Besar, Abdul Mutalib Islan berkata, tidak kiralah apa keadaannya sekali pun, rakyat tetap nombor satu dan sentiasa perlu diutamakan.

“Pemimpin harus meluangkan masa bertemu rakyat terutamanya dalam usaha mendengar masalah serta tampil membantu untuk menyelesaikan sesuatu isu di peringkat akar umbi.

“Sehubungan itu, saya percaya program yang bersifat kemasyarakatan adalah kuncinya dan ia sentiasa perlu dianjurkan kerana dari situ baik pemimpin mahu pun rakyat, aspek kesefahaman dapat dibentuk,” katanya kepada E-MEDPRO.

Katanya lagi, pendekatan sedemikian juga seterusnya membolehkan semua pihak boleh duduk bersama-sama sekali gus kenal hati budi masing-masing.

Abdul Mutalib berkata demikian ketika mengulas program ziarah yang dianjurkan di sekitar kawasan Sungai Besar, baru-baru ini.

Sementara itu, calon Timbalan Ketua AMK, Tengku Mohd. Za'in Tengku Shaiful Bahril berpendapat selain perlu komited untuk berbakti kepada rakyat, sikap menghargai antara satu sama lain antara yang perlu dipupuk.

“Melalui program ziarah anak muda dan menyantuni golongan warga emas termasuk mereka yang sedang sakit atau uzur misalnya, ia bukan sekadar membawa maksud ‘berbakti’.

“Aktivti sedemikian mampu membuka mata pemimpin untuk lebih memahami erti kasih-sayang dan sedangkan dalam Islam sendiri menggalakkan kita untuk berbuat baik sesama makhluk. Maka sikap tidak peduli dengan mengabaikan masalah orang lain jelas sekali perlu dijauhi,” katanya.

Calon Naib Ketua AMK, Ahmad Fairus Nizar Mohamed pula menyeru agar aktiviti sebegitu akan mendapat sambutan daripada lebih ramai lagi generasi muda di Sungai Besar.

“Sewaktu kita sihat dan kuatlah, kita perlu ambil kesempatan untuk berbakti kepada rakyat sebaik mungkin agar kesejahteraan dapat dipupuk.

“Ini bukan soal politik atau bangsa serta agama, ini adalah soal kemanusiaan yang wajar dihebahkan agar perkara baik dapat dijadikan tauladan dan yang kurang elok, dijadikan iktibar,” katanya.

Ketiga-tiga calon ini akan bertanding dalam sesi pemilihan AMK Sungai Besar bagi sesi 2018 – 2021 yang akan berlangsung pada 30 September hadapan.

Selain aktif dalam melakukan program ziarah, ketiga-tiga calon ini juga bakal menganjurkan Program Baraan Merdeka Anak Muda Sayangi Sungai Besar, Sayangi Malaysiaku demi memupuk rasa cinta terhadap tanah air.

** E-MEDPRO **

No comments