Jazlina antara Top 50 finalis World Miss University 2018


KUALA LUMPUR 20 Julai - Bermula dengan langkah bergiat secara aktif dalam dunia teater, siapa sangka gadis manis dari Seremban ini diberi peluang untuk mempamerkan bakat diri dalam pentas peragaan pula.

Namun itulah antara susun atur perjalanan yang sedang dilalui Jazlina Azmi, 19 yang juga merupakan pelajar tahun pertama di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Dia yang gemar melancong dan membaca novel tidak menyangka percubaannya menghantar permohonan untuk menyertai pertandingan World Miss University 2018 itu membuahkan hasil apabila dia terpilih untuk ke fasa yang seterusnya.

"Saingan pasti sengit namun berbekalkan beberapa pengalaman seperti pernah menjadi Top 5 dalam program Miss University pada April lalu dan juga naib juara bagi program Glam Batika Raya 2018, tidak salah untuk saya terus mencabar diri saya.

"Walaupun pertandingan ini hanya melibatkan pelajar universiti namun siapa yang tidak mahu mencari ilmu dan pengalaman yang sememangnya sangat bermakna. Untung-untung kalau ada rezeki, dapatlah saya mewakili Malaysia untuk bertanding di peringkat antarabangsa pula," ujar Jazlina yang turut terlibat dalam pementasan teater Mahsuri, baru-baru ini.

Berkongsi tentang World Miss University 2018, seramai 50 finalis bakal berhadapan dengan ujian sebelum melangkah ke peringkat akhir dan bagi dirinya, persiapan mental dan fizikal wajar diterapkan dalam diri secara konsisten.

"Untuk asas fizikal, saya kini giat berlatih 'catwalk' untuk mencantikkan lagi posisi tubuh sewaktu dinilai nanti dan bagi persediaan mental pula, saya memperbanyakkan bahan bacaan untuk menambahkan lebih banyak pengetahuan," katanya.

Jazlina turut memberitahu Utusan Online bahawa dia amat meminati Datin Seri Umie Aida serta Nasha Aziz dan kedua-dua selebriti itu merupakan idolanya sama ada dalam dunia lakonan atau dunia peragaan. - UTUSAN ONLINE

No comments