Iklan

Syatilla Melvin Gugur, Alami Pendarahan Teruk Selepas Lakukan Kerja Rumah



Hajat seorang pelakon jelita, Syatilla Melvin berkecai apabila hasratnya untuk menimang cahaya mata kedua tidak kesampaian apabila dia keguguran minggu lalu.

Syatilla atau nama sebenarnya, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 26, berkata, dia yang hamil enam minggu mengalami pendarahan yang teruk selepas melakukan kerja rumah.

“Sekitar minggu lepas, saya mengalami pendarahan yang sangat teruk selepas melakukan kerja rumah. Mungkin saya penat sangat sehingga janin yang telah berusia enam minggu gugur.

“Pada mulanya, saya agak sedih, maklumlah kami memang merancang untuk menambah zuriat. Tetapi, saya dan suami reda dengan apa yang telah berlaku,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jamu Mutyara di WowKL, Rabu lalu.

Isteri kepada aktor Shaheizy Sam berkata, dia bagaimanapun reda dengan ketentuan itu.

Pelakon drama Sha Dan Shah ini berkata dia dan Sam akan terus berusaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua selepas kelahiran pertama iaitu Syeriv Samheizy yang kini berusia setahun.

“Jika selepas ini saya ditakdirkan hamil lagi, saya akan menjaga kandungan tersebut sebaiknya,” kata Syatilla yang kini masih melalui proses berpantang.

Untuk rekod, Syatilla pernah mengalami keguguran sebelum dia mengandungkan Syeriv.

Bagaimanapun, rezekinya untuk menimang cahaya mata dipermudahkan apabila disahkan hamil sebulan kemudian.

Shaheizy dan Syatilla berkahwin pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki pada 9 Mei 2017.


** E-MEDPRO **

No comments